About Me

header ads

JKK; Hidup Segan, Mati Tak Mahu

Bismillah. Agak lama kawe tidak menulis dalam blog ni. Tiada idea barangkali.. Maka banyak masa dihabiskan membaca artikel ilmiah dari sahabat penulis yang lain. Kadang-kadang urusan tugas dan tanggungjawab membataskan segalanya. Ibarat sebatang pokok, makin tinggi pokok meninggi, maka makin kuat lah angin yang menggoyangkannya. Urusan kehidupan kita pun begitu, makin meningkat usia, makin banyaklah komitmen tugas dan tanggungjawab kita. Makin lama kita bekerja di sesebuah organisasi, kita tidak sepatutnya makin relek dan makin berkira-kira untuk bertugas. Orang lama, jika tidak berfungsi dalam organisasi, apa guna diberi kenaikan gaji dan pangkat jika hanya duduk sahaja. Orang sebegini tempatnya sepatutnya di muzium. 

Apabila menulis sesuatu, bimbang jika menggores hati individu. Siapalah kawe untuk menegur dan memberi tunjuk ajar kepada orang lain. Sedangkan diri kawe sendiri turut perlu lebih banyak belajar dan menerima teguran. Kawe memetik kata dari blog Genta Rasa; Bila kita sndiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. 

Petang itu cuaca sangat panas. Seusai solat Asar, kawe mengambil ruang untuk duduk-duduk di tangga masjid. Tiba-tiba belakang kawe disentuh oleh seseorang. 
"Belum pulang lagi, cikgu?" 
"Owh Pak Long. Belum lagi. Ambil-ambil angin sekejap". 

Sambil memerhatikan langit membiru, dia yang dikenali masyarakat sebagai Pak Long duduk disebelah kawe sambil tersenyum. Namun dari riak muka, kawe dapat rasakan sesuatu yang ingin disampaikannya. 

"Cikgu, saya pelik la dengan orang sini..."

"Apa yang peliknya Pak Long?" 

"Ya la... bila berpesatuan, mereka cukup bersemangat. Ada yang berebut-rebut untuk jadi AJK. Tapi..". 

"Tapi apa, Pak Long?" 

"Pak Long paling sedih apa yang berlaku dalam masjid ni. Lihatlah keadaan masjid kita ni. AJK masjid pun tak nampak, apatah lagi orang kampung lain." 

"Tapi Pak Long, saya nampak mereka semua hadir semalam. Dari petang lagi nampak sibuk."

"Tu sebab ada program, cikgu. Sambutan hari raya. Masjid ni bukannya tempat kita datang bermusim, cikgu". 

"Erm... semenjak saya mengajar di Kapit, tiada pulak pengisian slot antara magrib dan isya. Setiap hari nampak lengai ja. Masa yang ada banyak dihabiskan jemaah untuk berbual-bual dan merokok". 

"Itu la. Ada la sekelompok kecil yang buat usrah. Saya pun pelik, Ustaz di Kapit kan ramai. Kenapa tidak disusun jadual tazkirah selepas magrib mengikut bab seperti di Semenanjung". 

"Tak ada peruntukan kut."

"Bukan masalah peruntukan, cikgu. Sikap masyarakat Kapit ini sendiri kut. Tengok lah apabila program ceramah yang diadakan pada sambutan hari kebesaran Islam. Mereka tak naik atas masjid mendengar kuliah. Sebaliknya lepak di tangga dan berbual di sekitar masjid sambil merokok. Apabila makan, mereka kerumun sampai imam dan makmum lain yang betul-betul mendengar kuliah tak sempat menjamah jamuan ringkas. Pak Long sendiri rasa malu melihat situasi begini. Lebih-lebih lagi bila jemput penceramah dari jauh". 

Kawe tak berani untuk menyampuk. Maklum lah kawe ni cuma datang bertugas di Kapit. Ruang tersebut digunakan untuk mendengar Pak Long bercerita. 

"Bukan sahaja program ceramah, lihat sahaja solat Jumaat. Baik orang muda, orang tua, ramai yang menungu di tempat parking dan tangga masjid semasa khutbah. Susah mahu cakap." 

Terlintas di fikiran kawe dengan kata-kata Pak Long tadi. Mungkin usaha dakwah masih kurang di Kapit. Proses pentarbiyahan kepada masyarakat perlu dimantapkan lagi. Banyak program sukarela boleh diatur di msjid Kapit sebenarnya. Mungkin pentazkirah atau penceramah harian bukan hanya terhad kepada pegawai di Jabatan Agama sahaja. Boleh sahaja libatkan ustaz-ustaz dan guru-guru dari sekolah sekitarnya. Soal tauliah jangan difikirkan sangat. Takkan untuk mengajar alif, ba, ta kepada anak2 oleh guru sekolah secara sukarela perlukan tauliah? Untuk bab-bab yang perlukan ilmu tinggi, boleh juga kita minta ustaz-ustaz sekolah yang memang ada kelulusan Ijazah dalam pengajian agama. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. 

Apa peranan AJK masjid? Sekadar timbul sekali sekala semasa program? Selepas program terus balik? Adakah AJK hanya bertugas mencari dana? Disebabkan mencari dan memberi dana, tak perlu berjemaah ke masjid? Kita fikir-fikirkan. Banyak kecelaruan yang ada dalam masyarakat kita. 

Teringat kawe pada kuliah Ustaz Azhar Idrus. Perumpamaan yang diberi beliau cukup jelas. Jika kita ingin melantik AJK persatuan burung ketitir, sekurang-kurangnya AJK tu mesti la membela burung ketitir. Begitu juga jika hendak melantik AJK persatuan skuter, sekurang-kurangnya AJK tu mesti memiliki skuter. Bagaimana pulak dengan AJK masjid? Jika hendak lantik AJK masjid, sekurang-kurangnya AJK tu mesti la berjemaah di masjid lebih dari jemaah-jemaah lain. 

Sebagai guru akademik biasa di Kapit, kami suatu ketika dahulu pernah mengajar anak-anak mengaji selepas magrib di masjid Kapit. Cukup seronok. Sampaikan tak menang tangan. Sampaikan ibu bapa yang menghantar anak-anak mengaji turut mengaji secara talaqqi di suatu sudut yang lain. Tapi kini, tiada lagi sambutan. Mungkin sudah ada program di sekolah kut. Itu tidak menjadi masalah. Asalkan anak-anak kita mendapat asas mengaji al-Quran. Bagaimana pulak anak-anak lain? 

Itu hanya contoh situasi mengenai kelas mengaji. Belum lagi dibuat program tazkirah lain seperti tazkirah selepas magrib. 

Hampir 5 tahun kawe di Kapit, ini lah pemerhatian ringkas kawe. Semoga rakan-rakan lain dapat melakukan sesuatu bersama-sama kita.... untuk mengimarahan masjid Kapit. Kita tak mahu umat Islam di Kapit hanya Islam pada nama sahaja. Kawe memohon maaf andai tulisan ini mengguris mana-mana pihak. Kulil haq, walau ka na murran. 

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw bahawa, “bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan…” Umat Islam bukan umat yang menempah tragedi dengan kelemahan dan kebodohan tetapi umat yang meniru strategi Rasulnya yang penuh kebijaksanaan (fatanah) dan keberanian (saja’ah) (Genta Rasa).


Post a Comment

0 Comments