Terima Kasih sahabat guru yang awesome meraikan bersama detik ini. |
Bismillah. Sambutan Hari Guru 2022 merupakan sambutan yang cukup bermakna, memberi kenangan manis yang begitu besar dalam kehidupan saya sebagai pendidik. Mungkin ini adalah pengalaman sekali seumur hidup sepanjang perkhidmatan saya dalam pendidikan.
Menteri Kanan Pendidikan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Guru 2022 peringkat kebangsaan. |
Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Kebangsaan dengan tema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera telah disambut pada 15 Mei 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok yang dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin.
Alhamdulillah, tahun ini saya terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke 51 pada tahun 2022. Syukur atas nikmat yang dikurniakan Allas SWT, kerana tidak pernah terfikir untuk saya sampai di sini. Rasa kerdil bila berada dalam barisan penerima anugerah yang lain.
Saya berterima kasih sekali lagi kerana KPM telah mengangkat dan memartabatkan usaha-usaha cikgu dengan penganugerahan sebegini. Hakikatnya masih ramai pendidik di luar sana yang begitu hebat sumbangannya dan saya yakin mereka mendapat tempat di hati anak-anak dan masyarakat.
Semasa berada dalam majlis, sempat saya menyantuni rakan-rakan penerima anugerah yang lain. Sememangnya saya kagum dan teruja dengan kerja buat cikgu-cikgu ini, yang saya fikir tak termampu untuk saya lakukan. Kalian semua memang hebat dan menginspirasikan. Berikut adalah senarai kesemua penerima anugerah dalam sambutan Hari Guru Kebangsaan 2022:
Senarai Kesemua Penerima Anugerah Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2022 (Sumber: The Star) |
Seusai Majlis, sempat bergambar dengan rakan #CJD yang awesome ni |
Tidak dilupai bonda saya yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan anak-anak. |
Cuma, kegembiraan ini bersulam dengan tangisan apabila sebaik sahaja menerima anugerah, keluarga saya membuat panggilan memaklumkan abah saya sedang tenat di hospital. Maka saya dengan berat hati meningglkan majlis (tanpa sempat berjumpa rakan-rakan yang lain) dan terus bersiap pulang ke Kuala Krai. Abah menghembus nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Krai pada waktu magrib pada hari yang sama. Alhamdulillah peraturan Allah cukup cantik, mempermudahkan perjalanan saya untuk sempat menguruskan jenazah abah, dan segala urusan sehingga pengebumian selesai pada malam itu juga. Semoga Abah tenang di sana. Al-fatihah...
Yang menariknya, sebulan sebelum Majlis Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Kebangsaan ini, saya bertuah kerana dilawati oleh Menteri Kanan Pendidikan. Beliau juga sempat singgah dan melihat saya mengajar di kelas 5 Ibn Khaldun, KISAS bersama-sama TKPPM Sektor Operasi Sekolah, Dr Norisah Suhaili.
Bersama Pn Nur Aina Sabariah Md Isa (Anugerah Guru Cemerlang: Guru Hebat Bahasa) yang merupakan rakan sekerja saya di KISAS turut menerima anugerah dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2022. Tahniah.
Tanpa disangka-sangka, saya dan Pn Nur Aina Sabariah sekali lagi terpilih untuk menerima anugerah yang sama dalam Sambutan Hari Guru Peringkat PPD Klang pada16 Jun 2022. Terima kasih sekali lagi buat Tuan Pengetua KISAS, Ust Kamarul Ariffin bin Mohd Sharif yang sentiasa memberi galakan, memberi kepercayaan dan memberi sokongan untuk saya berkongsi dan terus menyumbang dalam segala kerja buat saya.
Tidak dilupai warga PPD Klang, yang banyak membantu bermula dari proses percalonan dan penghantaran dokumen. Selalu "follow up" saya dan memberi peringatan-peringatan sehingga berjaya menyelesaikan tugasan ini, iaitu Pn Nazura Amni, En Mohamad Asri Ayob, dan beberapa lagi pegawai yang berurusan dengan saya (maaf lupa nama tuan/puan).
Begitu juga di peringkat JPN, terima kasih banyak-banyak terutama En Mohamad Yusri Dahrumi, sentiasa "follow-up" saya sehingga percalonan saya terpilih untuk ke Kebangsaan. Terima kasih atas nasihat dan panduan yang diberikan.
Tidak dilupai untuk keluarga saya sendiri, Isteri, anak-anak yang merupakan sumber kekuatan saya. Ma saya, Almarhum ayahanda saya (Pak Dor Rahim) yang selalu mendoakan anak-anaknya. Rakan-rakan guru semasa di Kapit, Kuching, KISAS serta seluruh negara.
Buat anak-anak didik saya dari Kapit, Kuching dan seluruh Malaysia, terima kasih atas sokongan dan doa anak-anak semua. Cikgu sentiasa doakan kejayaan anak-anak..
Tidak dilupai Pasukan CikgooTube, di sini la segala-galanya bermula. Saya mempelajari seni membuat video PdP bersama otai-otai di sini, saling belajar dan saling berinspirasi dari orang-orang hebat dalam ni yang diterajui oleh BSTP, masa ni Cikgu Pengarah (Tn Hj Shafrudin bin Hj Ali Hussin), En Mohd Azemi dan ramai lagi yang tak mampu untuk saya senaraikan.
Alhamdulillah, Terima Kasih.
0 Comments