About Me

header ads

Kurang Ajar vs Terlebih Ajar

Bismillah. Sebagai guru, kawe juga tidak terlepas daripada melaksanakan tugas yang merentasi ruang dan masa waktu pejabat seperti Perkhemahan Unit Beruniform dan Kem-kem Motivasi Khas yang dianjurkan sekolah dan PPD. Sudah menjadi asam garam khidmat kawe dan rakan-rakan guru yang lain menerima tugas sebegini di hujung minggu di mana masa untuk anak isteri serta keluarga terpaksa dikorbankan demi menjayakan program tersebut. Bagi kawe yang memang berjauhan dengan isteri merentasi Laut China Selatan sudah sebati dengan masalah ini, tidak lagi kekkok untuk menghadapinya. Namun jauh di sudut hati terus berdoa moga allah makbulkan kami suami isteri untuk terus hidup bersama dalam sebuah keluarga yang mawaddah warahmah.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Selirik yang diadakan pada 5-7 Julai lepas berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Walaupun ada beberapa kes dan masalah, namun semuanya dapat ditangani dengan mudah. Tugas dalam kem menyebabkan kawe terlewat menghadiri Solat Fardu Jumaat. Setibanya di masjid, Khatib hampir menghabiskan khutbahnya yang pertama. Tanpa menghiraukan orang ramai yang terus melepak dan berbual-bual, kawe terus melangkah laju dan melaksanakan hak terhadap masjid.

Apa yang ingin kawe kongsi di sini adalah mengenai budaya masyarakat kita yang masih lagi tidak mencerminkan kematangan dan ketertiban beribadat. Ketika Khatib membaca khutbah, masih ramai yang melepak di tempat parking masjid, melepak di tepi tandas masjid, melepak di tangga pejabat agama Kapit yang berhadapan dengan masjid. Jika yang melepak itu terdiri daripada kanak-kanak rasanya tidak menjadi masalah untuk kita semua tegur dan ambil tindakan. Namun orang yang sudah terlebih ajar terdiri daripada belia muda remaja serta bapa-bapa yang menjadi tonggak aktiviti lepak di tempat tersebut. Aktiviti mereka tidak sekadar lepak, malah berbual-bual sambil menyedut rokok tanpa segan silu. Ada tika menghilai tawa mengalahkan suara khatib.

Mungkin itu kelemahan kawe dan rakan-rakan yang lain dalam menegur dan mendidik mereka. Bukan tidak ingin menegur. Jika ditegur hanya akan bermasam muka. Bimbang terkeluar kecaman "alah.. kamu orang luar.. ada hati nak tegur kami yang berpuluh-puluh tahun tinggal di sini. Dah la orang luar.." Apatah lagi nak mensenkeh kepala mereka. Tak pasal-pasal kawe dikejar dengan parang. Apa yang kawe ada adalah mengkritik melalui penulisan. Hanya ini yang ada. Jauh sekali untuk membuka aib. Siapa yang makan lada, maka akan terasa.

Kita minta lah orang dewasa, sebaik sahaja azan solat jumaat berkumandang, marilah kita naik ke masjid untuk menghayati khutbah. Malu ke anak-anak dan budak-budak sekolah yang boleh je menghormati tertib beribadat ini malah jauh lebih baik dari orang dewasa. Tiada faedah duduk melepak di bawah ketika khutbah jumaat. Generasi lepak semasa khutbah ini tidak mustahil akan diturunkan kepada anak-anak pula jika sikap ini tidak diubah. MALU KOTRANN..

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (al_Jumu'ah:9)

Post a Comment

0 Comments