Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bulan lepas sahabat kawe menceritakan kejadian yang beliau alami ketika berjemaah di sebuah masjid dalam negeri Melaka pada hari Khamis (malam Jumaat). Kebiasaannya budaya masyarakat Melayu Malaysia memang akan membacakan surah Yaasin setiap malam Jumaat, sehingga kita lupa akan surah al-Kahfi. Bukan bermaksud mengatakan bahawa amalan membaca Yaasin setiap malam Jumaat adalah tidak baik, sekadar ingin berkongsi ilmu mengenai amalan lain yang sepatutnya boleh diamalkan pada malam Jumaat. 

Sahabat kawe tersebut mendakwa, pada malam Jumaat tersebut, Imam telah mengambil langkah bijak dengan menyarankan agar pada malam itu semua hadirin jemaah agar tidak membaca Yaasin, sebaliknya membaca surah al-Kahfi. Pada mulanya semua makmum agak bingun dan terkejut, mungkin dalam fikiran mereka Imam ni buang tebiat kerana mereka tidak mengatahui fadilat al-Kahfi. Maka imam menjelaskan bahawa tujuannya adalah untuk menghidupkan amalan bacaan surah al-Kahfi di masjid tersebut dengan berselang-seli dengan bacaan Yaasin pada minggu berikutnya..


Hari jumaat merupakan penghulu segala hari. Perkara ini mungkin biasa didengari oleh anda. Tetapi apakah amalan yang boleh kita amalkan pada penghulu segala hari...

Sekarang saya ingin memberitahu ataupun mengingatkan anda salah satu amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi MUHAMMAD S.A.W. Iaitu membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat.

Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat" (HR. Ibnu Katsir)


Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an:
"Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya" (HR. Ibnu Katsir)

Kesimpulannya, pada hari Jumaat disunatkan untuk umat Islam membaca Surah Al-Kahfi. Banyak kelebihan yang ada apabila kita membacanya.

Rasulullah SAW selalu membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Oleh itu membaca surah Al-Kahfi merupakan salah satu sunnah nabi dan kita digalakkan untuk mengamalkannya. Pada kebiasaanya orang Melayu akan membaca Surah Yassin pada malam Jumaat sebagai adat. Perbuatan ini memang baik dan tidak salah. Sebagai seorang Islam kita mestilah berusaha meningkatkan amalan kita dari semasa ke semasa. Oleh itu cuba kita tukar bacaan dari surah Yassin kepada surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Kerana melakukan amalan sunnah nabi lebih utama daripada melakukan amalan sunat yang lain.

Sekian sahaja setakat ni. Apa yang salah harap anda dapat menegur dan membetulkannya dan jika anda ada terkecil hati harap maaf. Saya sebagai manusia biasa tidak lari dari kesilapan. Harap anda dapat maafkan.


(dipetik dan diubahsuai daripada email daripada Ustaz Adnan)